BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, September 19, 2011

Kenapa Zionisme Muncul Dalam Fikrah Melayu?


Zionisme ini ialah satu gerakan atau pakatan yang mahu menghancurkan umat manusia amnya dan agama Islam khasnya. Zionisme bukan orang Yahudi tetapi pengasas Zionisme memang seorang Yahudi.
Hari ini Zionisme bukan lagi milik eksklusif orang Yahudi. Agama Yahudi ialah Judaism. Kitab suci agama ini adalah Torah. Rumah sembahyang penganut agama ini dipanggil Synagogue. Kepala agama mereka dipanggil rabbi. Maklumat ini mungkin semua telah diketahui umum. Wajib juga diketahui bahawa ramai orang Yahudi sendiri yang menentang Zionisme.
Di Isreal sendiri ada kumpulan penganut Judaisme yang menentang keras fahaman Zionisme. Mereka menolak masuknya fahaman Zionisme ini ke Palestin. Untuk kumpulan ini, mereka percaya bahawa fahaman atau ideologi Zionisme telah membawa porak-peranda dan kesengsaraan terhadap orang-orang Yahudi di seluruh dunia dan juga kesengsaraan yang tidak terhingga kepada warga Palestin. Kumpulan ini bernama Neturei Karta – mereka ini pada 2006 telah datang ke Iran atas jemputan Ahmadinejad, presiden Iran.

Neturei Karta bersama rakyat dunia telah mengutuk negara yang dipanggil Israel. Neturei Karta adalah kumpulan Yahudi yang menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Mereka juga menentang Zionisme bermatian-matian. Perkembangan ini menjadi satu bukti bahawa Zionisme bukan ajaran Judaisme. Zionisme adalah falsafah yang menggunakan agama sebagai jubah untuk mengabui mata penganut agama Judaisme.
Ramai pemikir dan intelektual Yahudi yang unggul dalam ilmu pengetahuan dan falsafah juga menentang fahaman Zionisme. Noam Chomsky seorang daripada mereka. Susuk intelektual ini adalah suara Yahudi yang paling lantang menentang keganasan Israel. Albert Einstein ahli sains yang menemui teori e=mc2 seorang lagi Yahudi yang anti-Zionisme.
Di Israel sendiri, ramai orang Yahudi-Israel yang menentang fahaman tersebut. Mordechai Vanunu adalah contoh terbaik warga Isreal yang menentang Zionisme. Susuk ini telah membocorkan kepada dunia tentang senjata nuklear Israel yang kini tersimpan secara rahsia di padang pasir Negev. Vanunu diperangkap dan diculik dari London untuk dibawa pulang ke Israel. Kerana membocorkan rashia 'bom nukelar' Israel dan memberi amaran kepada dunia tentang bahayanya Zionisme, Vanunu telah dipenjara selama 20 tahun sejak 1986. Selama 18 tahun Vanunu dikurung bersendirian. Apabila dibebaskan, Vanunu terus ditahan lagi. Hingga ke hari ini Vanunu tidak boleh keluar meninggalkan Israel.
Warga Malaysia menganggap konflik Palestin-Israel sebagai konflik agama, terutama di kalangan Melayu. Pandangan ini salah. Konflik di Palestin bukan konflik agama. Konflik ini konflik hak milik bumi tanah Palestin. Ia lahir kerana bumi Palestin telah dirampas oleh penganut fahaman Zionisme untuk mendirikan apa yang kini dipanggil Israel.
Konflik di Gaza, Tebing Barat, Jenin, Hebron – umumnya konflik Arab-Israel – bukan konflik antara penganut Islam dengan penganut Yahudi. Wajib diketahui ada hampir 10 peratus warga Palestin beragama Kristian.
Hanan Ashrawi, perempuan yang pada 1980-an sering kita dengar namanya kerana memulakan rundingan damai Palestin-Israel ialah seorang Kristian. Edward Said, intelektual bertaraf dunia itu seorang Kristian. George Habaash, pemimpin popular Front for Liberation of Palestine beragama Kristian.
Kristian di Palestin adalah Kristian yang berasal-usul dari susur galur pengikut Isa kerana nabi itu dilahirkan di Nazareth, Palestin. Betul, agama dilihat memainkan peranan penting tetapi yang diperjuangkan ialah menuntut kembali bumi Palestin yang telah dirompak dan dirampas oleh penganut Zionisme. Tanah air Palestin yang telah dirampas ini melahirkan nasionalisme Palestin. Semangat nasionalisme inilah yang membolehkan rakyat Palestin terus berjuang bermati-matian menentang bala tentera yang terbesar di Timur Tengah.
Pada hari ini bukan susah untuk kita memahami bahawa pendukung unggul fahaman Zionisme dan Israel ialah Amerika Syarikat. Ini bukan kerana adanya Yahudi di New York atau California. Zionisme wujud kukuh di Amerika kerana kepentingan ekonomi Amerika pada ketika ini berjalan selari dengan kepentingan Zionisme dan Israel. Bukan sahaja Zionis Israel mendapat sokongan kuat dari Amerika, malah Kesatuan Eropah – Perancis, Jerman, Itali – semuanya menyokong Israel. Ini bukan kerana mereka cintakan Yahudi atau benci kepada Palestin – TIDAK. Mereka menyokong Israel kerana kepentingan ekonomi mereka.
Ekonomilah yang menjadi asas kepada fahaman Zionisme ini. Pemodal–pemodal global melihat bahawa Zionisme dapat membantu mereka meneruskan dan mengembangkan modal mereka. Kaum pemodal antarabangsa melihat fahaman Zionisme ini sedang memberikan keuntungan melimpah ruah. Industri persenjataan dunia bergantung kepada perang. Dengan wujudnya perang atau konflik yang berkemungkinan membawa perang adalah cuaca dan suasana yang amat baik untuk pembuat dan peniaga senjata antarabangsa.
Lihat bagaimana Amerika menjual dan membekal senjata kepada Isreal - ia menakut-nakutkan negara-negara Arab. Suasana takut ini memberi peluang kepada Amerika untuk menjual senjata kepada Mesir, Jordan dan Arab Saudi. Negara-negara ini tidak ada bezanya dengan Zionis Israel. Mereka tidak berani secara terbuka menyatakan sokongan kepada Israel – takut kepada rakyat mereka sendiri. Tetapi perangai dan tingkah laku terhadap warga mereka tidak jauh berbeza daripada apa yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap warga Palestin.
Zionisme pada ketika ini bukan lagi bergerak di Israel atau di Palestin sahaja. Zionisme telah menjadi fahaman yang meluas dan telah melintasi sempadan Israel. Jika sesiapa memiliki ciri-ciri fahaman rasis yang telah dinyatakan tadi bermakna mereka juga pendukung Zionisme. Zionisme ialah kezaliman.
Di sini ingin saya nyatakan bahawa kita tidak perlu ke Palestin untuk menentang kezaliman. Apa yang perlu kita lakukan ialah menentang kezaliman dan kejahatan di mana sahaja ia berada, termasuk dalam negara kita sendiri. Zionisme tidak memiliki sempadan. Tetapi, saya agak kecewa apabila melihat orang Melayu berlumba-lumba bangun menentang Isreal yang zalim. Mereka bertempik marah apabila rumah diruntuhkan di Hebron. Tetapi mereka tidak bersuara apabila rumah diruntuhkan di Kampong Berembang atau di Plentong atau di Chubadak.
Hairan. Di mana silapnya fikrah Melayu ini? Kenapa bangsa Melayu memiliki nilai yang setengah jalan? Di mana akal fikrah mereka terputus? Kalau di Palestin mereka yakin rakyat di sana sedang dizalami, kenapa apabila orang Penan dizalimi hati mereka tidak tergerak untuk membantu? Apakah mereka tidak memahami bahawa kezaliman dan kejahatan itu tidak berbangsa dan tidak beragama? Kebaikan dan keadilan juga tidak berbangsa dan beragama. Orang Melayu tidak dapat menerima Ketuanan Yahudi tetapi bagaimana orang Melayu yang sama dapat pula menerima Ketuanan Melayu? Di mana songsangnya fikrah Melayu ini? Apakah mereka telah terputus nilai kemanusiaannya?
Justeru sesudah membaca tulisan ini, marilah kita bersama-sama meneliti dan menilai kembali nilai Melayu kita. Apakah kita benar-benar faham tentang kezaliman dan keadilan.

Resepi Cinta Ibnu Athaillah


Cuaca tika senja ini sungguh indah, sekawan burung riang berterbangan di layar angkasa. Agaknya baru pulang dari mencari rezeki, desis hatiku. Mentari pula mula menyorokkan diri bagi memberikan 
peluang sinar sang rembulan menjelma...
"Subhanallah banyak sungguh nikmat-Mu. Namun, mengapa manusia masih mendustakan?"
Selang beberapa minit, seruan azan mula berkumandang, sayup-sayup di ruang angkasa menandakan waktu maghrib sudah tiba. Tanpa berlengah ku bawa diriku menghadap Pencipta yang esa. Seusainya solat, ada tazkirah yang disampaikan oleh pak imam. Hatiku berbunga.Sudah lama aku tidak mendengar tazkirah sebegini.Tika itu memoriku mengimbau kenangan indah bersama-sama rakan seperjuangan di alma mater. Rindu sungguh!!! Tajuk yang ingin disampaikan hari ini sungguh menarik, terutamanya kepada golongan remaja seperti aku.Tajuknya, 'Resepi Cinta Ibnu Athaillah'. Ayuh kita selaminya bersama...
Sidang hadirin sekalian, Ibnu Athaillah pernah mengungkapkan dalam kitabnya bahawa tidak ada yang dapat mengusir syahwat atau kesenangan dunia selain rasa takut kita kepada Allah sehinggakan mampu  menggetarkan jiwa atau rasa rindu kita kepada Allah yang boleh membuatkan hati kita merana. Ingatlah, kita tidak dapat mengelakkan diri dari disapa hembusan hangatnya cinta. Namun sedarlah kembali, apakah tujuan dan matlamat penciptaan diri kita ini, iaitu semata-mata untuk beribadah kepada Allah. Sedarlah wahai pemuda, bahawa cinta pada perempuan yang bukan isteri kita adalah syahwat dan cinta kepada seorang lelaki yang bukan suami kita juga adalah syahwat. Sebaiknya kita keluarkannya daripada hati kita secepat yang mungkin. Usah dibiarkan ia terus mengotori sekeping hati kita. Hati adalah raja yang mentadbir diri kita. Jika baik hati itu, maka baiklah diri kita. Namun jika buruk hati itu, maka buruklah diri kita. Sesungguhnya perasaan itu sukar untuk kita keluarkan atau usir dari dalam diri kita melainkan kita memiliki dua perkara iaitu:-
Pertama: Rasa cinta kita kepada Allah yang luar biasa. Rasa cinta yang menggetarkan dinding hati. Sehingga di hati kita hanya timbul kecintaan mendalam kepada Allah. Cinta kepada yang selain dari-Nya akan lenyap dan terusir dengan sendirinya seperti hembusan angin meniup pepasir di padang tandus.
Kedua: Rasa kerinduan kita kepada Allah yang maha dahsyat, sehingga membuatkan diri kita terpenjara merana. Andai kita berasa merana kerana rindu kita kepada Allah, maka kita tidak mungkin merana kerana cinta kita pada yang lain. Andai fikiran kita sudah sibuk memikirkan Allah maka tiada masanya lagi otak kita ligat berfikir mengenai yang lain.
Wah sungguh menarik kata imam tersebut.Terkesan sungguh sehingga mencecah lubuk dasar hatiku. Sekarang baru ku sedar, bahawa cinta kepada manusia bukanlah seindah yang disangka kerana mungkin akan membawa kepada perpisahan tetapi cinta kepada Allah sudah semestinya kekal abadi. Begitulah tazkirah yang ringkas tetapi meninggalkan sisa positif dalam hatiku. Ingatkan tukang masak saja ada resepi yang hebat rupanya pemikir islam dahulu lebih hebat dan hangat resepinya. Begitulah resepi cinta Ibnu Athaillah, seorang ahli sufi...

Ibu Mithali, Isteri Sejati


Ibu mithali adalah satu gelaran yang mulia dan tahap yang paling tinggi yang boleh di capai oleh para ibu yang mengikut segala suruhan Allah dan Rasulnya dengan seikhlas hatinya dan sanggup mengorbankan dirinya untuk mendidik, menghasilkan anak-anak yang soleh dan solehah. Bukan anugerah dan kata-kata pujian dari manusia yang di harapkan tetapi keredhaan dari Allah itulah yang paling utama.
Ibu Adalah Pendidik
Seseorang pendidik keluarga seharusnya memfokuskan diri pada aspek-aspek tertentu seperti :
  1. Berdoa memohon keredhaan Allah
  2. Mengistiqamahkan sunnah dan penghayatan Islam dalam rumahtangga
  3. Membersihkan hati dan pemikiran
  4. Membina kebahagiaan secara proaktif
  5. Mendidik diri sendiri
  6. Mengamalkan komunikasi dan hubungan kemanusiaan berkesan berdasarkan Al-Mawaddah (berkasih sayang) dan Ar-Rahman (kasih-mengasihani)
  7. Mengamalkan sikap dan pegangan yang betul
  8. Mengamalkan suasana persekitaran yang kondusif dan merangsang dalam rumah tangga
  9. Membina rumahtangga berasaskan Al-Muiasyarah Bil Makruf (pergaulan dan hidup bersama secara baik dan di redhai Allah)
  10. Pembangunan fizikal dan kesihatan
  11. Muhasabah diri
Adakah kita telah berjaya melaksanakan kesemua 11 aspek ini atau hanya separuh daripadanya sahaja. Jika anda telah berjaya, anda patut bangga. Namun begitu ia masih tidak mencukupi lagi, ada beberapa perkara yang perlu dititik beratkan lagi untuk mencapai IBU MITHALI ISTERI SEJATI.
Seorang ibu dan isteri positif mesti mempunyai 9 sikap mental iaitu :
  1. Positif Terhadap Perubahan
  2. Positif Terhadap Diri Sendiri
  3. Positif Terhadap Kepimpinan
  4. Positif Terhadap Masalah
  5. Positif Terhadap Orang Lain
  6. Positif Terhadap Keadaan Emosi
  7. Positif Terhadap Idea Kreatif
  8. Positif Terhadap Membuat Keputusan
  9. Positif Terhadap Qada Dan Qadar
Antara petua untuk menjadi ibu mithali :
  • Analisis diri daripada pandangan anak
  • Sedari dan fahami perbezaan anak daripada segi fizikal dan emosi
  • Bercakap benar
  • Kotakan kata-kata
  • Didik anak mengenai kemahiran sosial
  • Gunakan masa jitu untuk mengajar
  • Wujudkan suasana positif lebih dari negatif
  • Gunakan belaian positif dalam rumah tangga
  • Padam rekod negatif dalam pemikiran anak
  • Melatih anak berfikir
  • Dedahkan anak kepada pelbagai pengalaman
  • Tunjukkan contoh sihat dalam rumah tangga
  • Memimpin anak menyempurnakan ibadah umum dan khusus
  • Hidupkan sunnah dalam rumah tangga
  • Sentiasa berdoa mendapatkan bantuan dan rahmat Allah
  • Mengenal pasti potensi anak dan menyerlahkannya.
Menjadi seorang ibu mithali bukanlah mudah. Mereka mempunyai pelbagai peranan dalam rumah tangga. Antaranya ialah :
  • Pendidik keluarga
  • Pemimpin kedua dalam segala hal berkaitan dengan rumah tangga
  • Penasihat
  • Doktor dan jururawat
  • Mendisiplinkan anak-anak
  • Kawan atau sahabat
  • Penyelesai masalah
  • Merangsang perkembangan mental anak-anak
  • Mengawal perkembangan dan tingkah laku anak
  • Model pada anak-anak
  • Mendoakan kejayaan anak di dunia dan akhirat
  • Mengawal ekonomi rumah tanggaMenjaga harta suami dan keluarga
Selain daripada itu terdapat 13 prinsip ibu mithali yang perlu dicontohi iaitu :-
  1. Ibu menyerlahkan keunikan sendiri
  2. Tidak berebut kuasa dengan anak-anak
  3. Memahami teknik memuji dan mengkritik anak
  4. Bersangka positif terhadap kebolehan dan kecemerlangan setiap anak
  5. Mendidik anak berdikari
  6. Mempunyai nilai diri tinggi
  7. Bersedia meminta maaf daripada anak-anak
  8. Bertindak secara jamaah
  9. Mengorbankan kepentingan peribadi
  10. Memberi perhatian rapi terhadap setiap kegiatan yang dijalankan
  11. Meneroka dan merangsang potensi anak
  12. Sentiasa meningkatkan diri daripada segi keterampilan keibubapaan
  13. Sentiasa berdoa untuk kesejahteraan keluarga.
Kesimpulannya untuk menjadi seorang ibu yang baik mungkin kita boleh mencapainya tetapi untuk menjadi seorang ibu dan isteri yang cemerlang, kita perlu mendalami ilmu keisterian. Oleh itu berusahalah kita seberapa yang boleh untuk menjadi "ibu mithali, isteri sejati".

CERITA MENYENTUH PERASAAN


Kisah Benar : "Abang,tunggu mak di syurga ya"
Hargai & sayangi org2 disekeliling kita sementara mereka masih bernyawa.....
Dan terima kasih kepada penulis & saya share untuk semua moga ketabahan mereka mampu membuatkan yang lain semua hargai apa yang ada di depan mata....................Terima Kasih sekali lagi.....
Kisah Benar : "Abang,tunggu mak di syurga ya"
Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.
Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.
"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.
Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.
"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"
Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.
Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.
Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.
Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana .
Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.
Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.
Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?
Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.
Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang.
Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.
Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.
Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari.
Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak,sudah 'reput'. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk abang.
26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah!
Hah Hah.. Tergelak mak.Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah,
Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur , tapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta.
Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.
Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.
7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang.
Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi.
Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi.
Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan abang? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!"
Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahumereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi.
Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.
13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang.
Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab: "Mak, abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab: "Balai bomba!"
Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.
Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu: "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!"
Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus diacapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu.
Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembiru sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?"
Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!"
Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?"
Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.
Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup lihat abang lama-lama. Sedih agaknya.
Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung abang.
Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak peri,semuanya mak tunaikan!
Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam abang teringin nak makan. Martabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikanwalaupun makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi!
Apa saja yang teringin oleh tekak abang, semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan.
Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaringsambil memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!"
Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!"
Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada hari ini. Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang datang melawat.
Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan yang mak terkilantak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk lori sampah.
7 April 2011% Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini.
Rupa-rupanya, tengah hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek lori yang abang mahukan sebelum ini.
Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sanka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta.
Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria, wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar lemah. Abang sekadar terbaringmerenung kek itu.
Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang, bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.
Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: "Mak tahu abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak pergi.
"Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun seketika!"
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia
Abang pada tahun 2007.
9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap-cungap menarik nafas.
Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan minum pun tak mahu. Pakul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai.
Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.
Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan-jalan.
"Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak taj sinar matahari tu? Cantikkan?"
Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu.
Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak.
Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.
"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja."
Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba!
Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut..!"
Dan abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang. Pergilah abang. Mak izinkan abang pergi!"
Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalammata abang yang semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan tangisan kamu!"
Mak marah mereka buat begitu pada abang. Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput abang.
Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya.
Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!" Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...
Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillah... Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang: "Tenanglah abang disana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak menangis?
Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.
Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.
Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang.
Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.
Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan.
Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa abang ta[i... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.
Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidka lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa)

There was an error in this gadget